PEJUANGAN YANG BELUM SELESAI
Sesungguhnya
Tidak ada yang lebih menyayat
Dari melihat bangsa ku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
Dari membiarkan bangsa ku dihina
Air mata tiada ertinya
Sejarah silam tiada maknanya
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir
Bukan kecil langkah wira bangsa
Bagi menegakkan kemuliaan
Dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara
Mengharung sejuta dugaan
Biarkan bertatih
Asalkan langkah itu yakin dan cermat
Bagi memastikan negara merdeka
Dan bangsa terpelihara
Air mata sengsara
Mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita
Tugas kita bukan kecil
Kerana mengisi kemerdekaan
Rupanya lebih sukar dari
Bermandi keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
Kalau bangsa ku asyik mengia dan menidakkan
Mengangguk dan membenarkan
Kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya
bangsa ku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri
bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain kemerdekaan
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara
Bangsa ku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut , pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang
Bukankah bangsa ku penah mengharung
Samudera menjajah dunia yang tak dikenal
Bukankah mereka penah menjadi wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya hingga bangsa ku
Berasa begitu kecil dan rendah diri
Apakah angkara penjajah?
Lalu bangsa ku mulai
Melupakan kegemilangan silam
Dan sejarah gemilang membina empayar?
Tugas kita belum selesai rupanya
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa
Kerana hanya bangsa yang berjaya
Akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
Tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
Buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
Kerana bangsa yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya!
-TUN MAHATHIR MOHAMMED-